Pendidikan Islam
Pendidikan menurut Islam “satu proses berterusan untuk merubah, melatih dan mendidik akal jasmani dan rohani manusia berdasarkan nilai-nilai Islam yang bersumberkan wahyu bagi melahirkan insan yang bertaqwa dan mengabdikan diri kepada Allah Taala untuk mendapatkan kejayaan di dunia dan akhirat.
Pendidikan Islam bermaksud memberi pendidikan kepada pelajar berdasarkan ajaran Islam. Mendidik juga bermaksud mengasuh, menjaga dan membelai supaya seseorang pelajar itu menjadi baik. Baik di sini tentulah bermaksud baik pada pandangan Islam. Ilmu pengetahuan yang diberi itu ialah suatu wadah dalam pendidikan. Justeru ilmu belum tentu mendidik, dan memberi ilmu juga belum tentu lagi memberi pendidikan. Ramai ahli pendidikan tersalah faham bahawa dengan menyampaikan mata pelajaran Islam sudah memenuhi tuntutan pendidikan Islam. Sedangkan pendidikan Islam memerlukan asuhan iaitu mewujudkan persekitaran yang menggalakkan mereka mengamalkan Islam. Misalnya tiada kesannya kalau mengajar ibadah salat sedangkan tidak ada surau atau mesjid yang mereka boleh diajak solat berjamaah.
Mendidik ialah kata-kata nasihat supaya pelajar melakukan sesuatu yang baik. Menasihati pelajar supaya melakukan suruhan Tuhan seperti solat, beradab dengan ibu bapa dan guru adalah pendidikan. Menasihati pelajar supaya belajar dengan baik dan tekun adalah pendidikan juga. Menjaga kebersihan diri, bilik darjah, kawasan sekolah, kantin, padang adalah tuntutan Islam. Kekemasan diri, bilik darjah, kawasan rumah, juga tuntutan Islam. Menasihati pelajar untuk melakukan semua ini ialah pendidikan Islam. Berdasarkan kepada takrifan ini bermakna, tugas pendidikan Islam bukan terletak kepada ibu bapa dan guru agama sahaja, malah kepada semua orang Islam. Kalau di rumah, ibu bapa dan keluarga itu yang bertanggungjawab memberi pendidikan Islam. Manakala di sekolah pula, semua guru yang beragama Islam adalah bertanggungjawab memberi pendidikan Islam kepada semua murid Islam. Guru agama atau istilah sekarang guru Pendidikan Islam, lebih luas tanggungjawabnya; pertama menyampaikan pengetahuan Islam dan kemudian mendidik dengan pendidikan Islam. Masyarakat pula bertanggungjawab untuk menghidupkan budaya Islam di dalam masyarakat. Ini termasuklah percakapan, pergaulan, permainan, urusan harian dalam hal ekonomi, politik, sosial, teknikal dan sebagainya.(Mohd ‘Athiyah Al-Abrasyi ,1969)
Sekolah merupakan institusi formal dalam proses memberi pendidikan Islam. Pendidikan diberi berdasarkan disiplin ilmu. Disiplin ilmu lslam khusus yang ada di sekolah ialah Aqidah, Ibadah, Akhlak, Sirah serta Tilawah Al-Quran (Lihat sukatan pelajaran Pendidikan Islam menengah dan rendah, 1997). Selain daripada itu, pendidikan Islam juga diberi secara tidak formal melalui aktiviti kokurikulum sekolah. Seperti bekerjasama, budaya ilmu, solat berjamaah, amanah, kebersihan, mengikut peraturan, makan beradab, tepat masa, hormat guru, mengucap salam sesama Islam, ucapan selamat kepada yang bukan Islam dan banyak lagi. Ini semua adalah pendidikan Islam. Pada hari ini kebanyakan sekolah hanya mementingkan pencapaian dalam peperiksaan bukan pencapaian pembentukan peribadi rabbani atau ulul-albab seperti yang disebut olh Al-Quran.
Matlamat akhir pendidikan Islam ialah melahirkan individu muslim yang faham Islam dan faham ilmu-ilmu Islam yang fardhu ‘ain dan yang fardhu kifayah, seterusnya menghayati ajaran Islam dalam hidupnya dengan bahagia, berkeluarga, bermasyarakat, bertamadun, serta mendapat kesejahteraan selepas matinya. Persoalannya ialah, apakah pendidikan Islam dalam sistem pendidikan hari ini menuju ke arah itu? Atau pun masyarakat, termasuk golongan guru, masih kabur terhadap konsep dan kefahaman ini?
No comments:
Post a Comment