Wednesday, December 2, 2015

KERTAS CADANGAN TESIS Ph.D PENGAJIAN ISLAM

Perspektif Maqasid Syariah Dalam Undang-Undang Jenayah Syariah Malaysia-kes zina, khalwat dan bersekedudukan

Ir. Mustafar Bin Ab. Kadir
Pendahuluan
Kajian ini menjurus kepada menyelusuri applikasi maqasid syariah dalam undang-undang jenayah syariah di Malaysia secara menyeluruh. Hubung kait hukum jenayah syariah dengan asas-asas usul fiqh dan maqasid syariah akan diperiksa dari sudut sejarah taqnim hukum-hukum tersebut dan asas-asas hukum syara’ yang bersumberkan Al-Quran an Al-Sunnah. Apakah undang-undang jenayah yang berasaskan takzir boleh dikira memenuhi kehendak maqasid syariah sedangkan hukum asalnya mungkin berasaskan hukum hudud. Undang-undang jenayah syariah di Malaysia berevolusi dari zaman kerajaan Islam Melaka hingga ke era penjajahan Inggeris. Penjajah memainkan peranan dalam mencorakkan hukum jenayah syariah di negeri-negeri Melayu waktu itu dan Malaya kemudiannya hinggalah ke Malaysia masa kini (Mahmood Zuhdi, 2007). Persoalan yang timbul apakah undang-undang ini menepati kehendak syara’ dan maqasid syariah. Fiqh Maqasid telah lama berkembang sebelum zaman ini lagi dan dunia Melayu mempunyai ramai ulama tersohor tetapi tiada terdapat bukti ulama-ulama ini mempertikaikan undang-undang ini bahkan hingga selepas kemerdekaan Negara kita. Undang-undang ini lari jauh dari hukum syara’ yang asal iaitu hukum hudud, qisas dan takzir. Hanya hukum tahap takzir saja diamalkan, itu pun pada tahap yang minima. Sejauh mana prinsip-prinsip maqasid syariah boleh dijadikan asas dalam pengurusan undang-undang jenayah syariah khususnya undang-undang berkaitan zina, khalwat dan bersekedudukan.
Maqasid al-Shariah” boleh diterjemahkan sebagai objektif Shariah, manakala secara umum ia bererti segala tujuan di sebalik penciptaan shariah pada keseluruhannya dan di sebalik setiap hukum di dalamnya secara satu persatu. Walau bagaimanapun, huraian di atas bukan berasaskan kepada mana-mana tradisi yang mantap kerana para ulama’ zaman klasik tidak pernah mendefinisikan istilah ini, tidak sebagaimana yang biasa dilakukan kepada istilah-istilah lain dalam pengajian shariah, sehinggakan Imam al-Syatibi sendiri yang merupakan kemuncak autoriti dalam subjek ini pun tidak pernah berbuat demikian. {Mahmood Zuhdi, 2012}


No comments:

Post a Comment