Thursday, November 15, 2012

KISAH MUHAJIR UMMU QAIS

KISAH MUHAJIR UMMU QAIS

Sempena menjelangnya tahun hijrah 1434 yang disambut hari ini 15/11/2012, kita petik satu kisah yang menarik berhubung meletakkan niat kita didalam sesuatu amalan atau tindakan. Periksalah diri kita dalam setiap amal supaya mendapat ganjaran Allah.

Waqi' telah meriwayatkan dari   Al A'masy bahawa Syaqiq iaitu Abu Wail, berkata: Seorang lelaki badwi dari satu kabilah telah meminang seorang perempuan bernama Ummu Qais. Ummu Qais enggan menerima lamarannya kecuali lelaki itu berhijrah. Dia pun berhijrah lalu mengahwininya. Kamu pun menggelarkannya sebagai muhajir Ummu Qais.

Telah terkenal bahawa kisah Ummu Qais ini merupakan sebab kepada sabda Rasulullah saw:

Diriwayatkan dari Umar ra beliau berkata : saya mendengar Rasulullah saw bersabda: 'Sesungguhnya segala amalan hanyalah (sah atau sempurna) dengan niat. Sesungguhnya untuk setiap orang hanyalah apa yang dia niatkan.Sesiapa yang yang hijrahnya kerana dunia yang akan dicapainya atau perempuan yang akan dikahwininya. Maka hijrahnya hanyalah kepada tujuan dia berhijrah'.

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Sunday, August 5, 2012

DARJAT PUASA

Saudaraku,

Ketahuilah bahawa puasa ramadhan itu ada tiga darjat atau tahap:

  1. Tahap Biasa - adalah sekadar menghindarkan nafsu perut dan kemaluan dari memuaskan syahwat. Ini adalah puasa orang awam
  2. Tahap Istimewa atau khusus - adalah darjat diatas tadi ditambah dengan menghindarkan pendengaran, pemandangan, lidah, tangan, kaki dan semua anggota dan deria dari berbuat dosa. Ini adalah puasa orang soleh
  3. Tahap Paling Istimewa atau khususul khusus - adalah ditambah lagi tahap dua dengan puasa hati dari semua keingingan rendah dan fikiran keduniaan serta menghindarkan ingatan hati dari selain Allah.. Ini adal puasa para Nabi
Bagi orang yang tidak mengejar keistimewaan disisi Allah  dia akan berpuashati dengan puasa darjat pertama sekadar melakukan fardu 'ain dan terlepas dari dosa. Tetapi bagi orang yang mengejar keistimewaan disisi Allah di Akhirat nanti tentulah mereka mahu mencapai darjat 'khususul khusus'. Tentulah sukar dilalui didunia moden hari ini yang penuh dengan 'gharar' dan cubaan. Usaha ini memerlukan 'uzlah' yakni memencil diri dari khalayak ramai dan usaha begini tidak ramai orang yang dapat melakukannya.

Bagi mencapai tahap 'khususul khusus' ini,  memikirkan apa yang hendak dimakan waktu berbuka sudah dianggap gagal oleh ulama tasawwuf. Apatah lagi yang bercampur baur dengan segala macam perbuatan dan  amalan berlebihan makanan dan bermewah-mewahan.

INTISARI DARI PETIKAN  'IHYA ULUMUDDIN' OLEH IMAM  ALGHAZALI.



Tuesday, July 3, 2012

PENDIDIKAN ISLAM

Pendidikan  Islam

Pendidikan menurut Islam “satu proses berterusan untuk merubah, melatih dan mendidik akal jasmani dan rohani manusia berdasarkan nilai-nilai Islam yang bersumberkan wahyu bagi melahirkan insan yang bertaqwa dan mengabdikan diri kepada Allah Taala untuk mendapatkan kejayaan di dunia dan akhirat.

Pendidikan Islam bermaksud memberi pendidikan kepada pelajar berdasarkan ajaran Islam. Mendidik juga bermaksud mengasuh, menjaga dan membelai supaya seseorang pelajar itu menjadi baik. Baik di sini tentulah bermaksud baik pada pandangan Islam. Ilmu pengetahuan yang diberi itu ialah suatu wadah dalam pendidikan. Justeru ilmu belum tentu mendidik, dan memberi ilmu juga belum tentu lagi memberi pendidikan. Ramai ahli pendidikan tersalah faham bahawa dengan menyampaikan mata pelajaran Islam sudah memenuhi tuntutan pendidikan Islam. Sedangkan pendidikan Islam memerlukan asuhan iaitu mewujudkan persekitaran yang menggalakkan mereka mengamalkan Islam. Misalnya tiada kesannya kalau mengajar ibadah salat sedangkan tidak ada surau atau mesjid yang mereka boleh diajak solat berjamaah.

Mendidik ialah kata-kata nasihat supaya pelajar melakukan sesuatu yang baik. Menasihati pelajar supaya melakukan suruhan Tuhan seperti solat, beradab dengan ibu bapa dan guru adalah pendidikan. Menasihati pelajar supaya belajar dengan baik dan tekun adalah pendidikan juga. Menjaga kebersihan diri, bilik darjah, kawasan sekolah, kantin, padang adalah tuntutan Islam. Kekemasan diri, bilik darjah, kawasan rumah, juga tuntutan Islam. Menasihati pelajar untuk melakukan semua ini ialah pendidikan Islam. Berdasarkan kepada takrifan ini bermakna, tugas pendidikan Islam bukan terletak kepada ibu bapa dan guru agama sahaja, malah kepada semua orang Islam. Kalau di rumah, ibu bapa dan keluarga itu yang bertanggungjawab memberi pendidikan Islam. Manakala di sekolah pula, semua guru yang beragama Islam adalah bertanggungjawab memberi pendidikan Islam kepada semua murid Islam. Guru agama atau istilah sekarang guru Pendidikan Islam, lebih luas tanggungjawabnya; pertama menyampaikan pengetahuan Islam dan kemudian mendidik dengan pendidikan Islam. Masyarakat pula bertanggungjawab untuk menghidupkan budaya Islam di dalam masyarakat. Ini termasuklah percakapan, pergaulan, permainan, urusan harian dalam hal ekonomi, politik, sosial, teknikal dan sebagainya.(Mohd ‘Athiyah Al-Abrasyi ,1969)

Sekolah merupakan institusi formal dalam proses memberi pendidikan Islam. Pendidikan diberi berdasarkan disiplin ilmu. Disiplin ilmu lslam khusus yang ada di sekolah ialah Aqidah, Ibadah, Akhlak, Sirah serta Tilawah Al-Quran (Lihat sukatan pelajaran Pendidikan Islam menengah dan rendah, 1997). Selain daripada itu, pendidikan Islam juga diberi secara tidak formal melalui aktiviti kokurikulum sekolah. Seperti bekerjasama, budaya ilmu, solat berjamaah, amanah, kebersihan, mengikut peraturan, makan beradab, tepat masa, hormat guru, mengucap salam sesama Islam, ucapan selamat kepada yang bukan Islam dan banyak lagi. Ini semua adalah pendidikan Islam. Pada hari ini kebanyakan sekolah hanya mementingkan pencapaian dalam peperiksaan bukan pencapaian pembentukan peribadi rabbani atau ulul-albab seperti yang disebut olh Al-Quran.

Matlamat akhir pendidikan Islam ialah melahirkan individu muslim yang faham Islam dan faham ilmu-ilmu Islam yang fardhu ‘ain dan yang fardhu kifayah, seterusnya menghayati ajaran Islam dalam hidupnya dengan bahagia, berkeluarga, bermasyarakat, bertamadun, serta mendapat kesejahteraan selepas matinya. Persoalannya ialah, apakah pendidikan Islam dalam sistem pendidikan hari ini menuju ke arah itu? Atau pun masyarakat, termasuk golongan guru, masih kabur terhadap konsep dan kefahaman ini?